Sunday 13 October 2019

Rumah anda panas? (Bah. 2) - Petua menyejukkan rumah

Picture
Dalam artikel sebelum ini, diterangkan cara-cara haba boleh masuk ke dalam rumah dan menjadikan rumah kita panas. Seterusnya kali ini kita akan lihat bagaimana kaedah melawan kemasukan haba.
Penerangan kali ini fokus kepada rumah banglo dan teres. Terdapat kaedah yang boleh diambil oleh pemilik rumah sedia ada dan juga langkah pencegahan yang boleh diambil bagi pemilik yang rumahnya masih dalam proses rekabentuk. Langkah2 ini bukan sahaja membantu dari segi keselesaan, bahkan sekiranya anda menggunakan pendingin hawa, anda mungkin boleh melihat kesannya pada penurunan bil elektrik anda daripada biasa.

Terdapat tiga komponen utama bangunan yang menjadi laluan masuk haba dari luar, iaitu tingkap, dinding dan bumbung. Setiap satu akan diterangkan kaedah menanganinya

Tingkap
Walaupun tingkap merupakan komponen yang agak kecil berbanding dinding, haba pancaran masuk melalui tingkap adalah paling tinggi kadarnya. Bayangkan kereta anda yang diletak di tengah panas selama 1 jam dengan kaca tingkap bertutup, bagaimanakah bahangnya apabila anda mula mula masuk kedalamnya? Ini adalah kerana haba radian dari pancaran matahari masuk terus menembusi tingkap kaca dan memanaskan udara dan permukaan dalaman kereta anda. Haba ini terkumpul dan tidak boleh keluar semula melalui kaca tingkap kereta. Ini dipanggil kesan rumah hijau (Green house effect). Sering kita dengar kanak2 yang ditinggalkan di dalam kereta yang bertutup mati kerana serangan haba, adalah kerana fenomena ini.

Secara umumnya, haba yang masuk ke dalam setiap kaki persegi tingkap kaca adalah berkali ganda banyaknya dari sekaki persegi dinding bata. Ini kerana haba pancaran masuk secara terus ke dalam rumah dan mengenai lantai dan perabot yang menjadi panas dan seterusnya memanaskan udara secara terus.

Apakah caranya mengurangkan haba pancaran melepasi tingkap? Langkah pertama, sekiranya rekaan masih belum dimuktamadkan, ialah mengecilkan saiz tingkap yang menghadap matahari. Jangan halakan tingkap tersebut kearah pancaran terus matahari. Ini bermakna tingkap sebaiknya dihalakan ke utara atau selatan, kerana matahari pagi akan mengenai tingkap menghadap ke timur, dan matahari petang akan mengenai tingkap yang menghadap ke barat. Untuk tingkap yang telah memang menghadap timur dan barat, ianya boleh dikurangkan dengan membina peneduhan di luar tingkap. Peneduhan ialah apa juga binaan yang boleh melindungi sesuatu permukaan dari pancaran terus matahari. ini boleh didapati dalam bentuk awning, pokok, bahkan bangunan lain sekalipun. Saya tekankan bahawa peneduhan ataupun perlindungan matahari hendaklah di bina di LUAR tingkap. Dengan hanya meletakkan langsir di tingkap, ianya mampu mengurangkan silau dan sedikit haba, tetapi langsir itu sendiri menjadi panas. Sekiranya kaca tingkap itu tertutup, haba yang terperangkap di langsir dan ruang antara langsir dan tingkap akan mengalir akhirnya ke dalam bilik tersebut.

Menampal lapisan tint atau menggunakan kaca gelap mampu mengurangkan haba pancaran ini, tetapi ianya mempunyai kesan yang tidak di ingini, bilik akan menjadi gelap dan kurang mendapat cahaya siang. Saya akan membincangkan kepentingan cahaya siang ini di dalam bab yang lain.

Dinding

Apabila permukaan luar dinding terkena pancaran matahari, haba akan diserap dan dialirkan ke dalam. Permukaan luar dinding akan menjadi panas. Seterusnya haba akan bergerak melalui pengaliran ke bahagian dalam dinding rumah, dan seterusnya akan memanaskan udara di dalam rumah itu sendiri. Kadar pengaliran haba ini bergantung kepada ketebalan dan nilai tebatan haba dinding itu sendiri. Sekiranya dinding yang diperbuat dari kayu, walaupun kayu penebat haba yang baik, haba akan cepat mengalir ke dalam kerana ianya agak nipis. Dinding batu melambatkan pergerakan aliran haba dari luar ke dalam. Oleh itu kita biasa menyebut rumah batu lebih sejuk, kerana ketika cuaca panas diluar, permukaan dalamnya masih sejuk lagi. Namun haba ini sebenarnya di simpan di dalam jisim bata itu sendiri. Dinding bata mempunyai nilai simpanan haba yang tinggi, oleh itu ketika ia dipanaskan oleh pancaran matahari ianya menyimpan sedikit demi sedikit dan akhirnya akan menyalurkan haba secara perlahan2 ke dalam rumah. Kesannya, rumah batu akan terasa panas agak lewat, bahkan sehingga ke malam hari haba yang disimpan masih dilepaskan ke dalam rumah. Inilah sebabnya kita merasakan rumah kayu panas di siang hari dan sejuk di malam hari, sedangkan rumah batu sejuk disiang hari dan panas di malam hari. Biasanya kita berada di dalam rumah ketika waktu malam, dan inilah waktu yang paling tidak selesa bagi kita.

Di negara sejuk dinding dibina dua lapis dan diletakkan penebat untuk menghalang haba dari keluar. Tetapi di negara kita ianya bagus untuk menghalang haba masuk. Namun kos untuk menebat dinding sebegini menjadikan ia tidak praktikal. Kita perlu menggunakan kaedah lain untuk menghalang haba masuk melalui dinding.

Antara caranya untuk menebat haba ialah dengan menggunakan warna cerah atau putih. Ini kerana warna ini memantulkan haba lebih baik dari warna gelap. Kita juga boleh menggunakan teknologi inovasi cat pemantul haba yang kini mula ada di pasaran.

Semasa proses rekabentuk, sebaiknya pelan rumah kita direka memanjang timur ke barat, agar dinding yang terdedah kepada matahari naik dan turun adalah kecil. Namun sekiranya lot tanah kita sememangnya memanjang dari utara ke selatan, maka langkah peneduhan perlulah di ambil. Benar, bukan hanya tingkap memerlukan peneduhan, bahkan dinding juga memerlukan peneduhan dari sinaran terus matahari. Ia membantu agar dinding tidak terkena pancaran terus matahari. Peneduhan diluar dinding rumah boleh dibuat dengan menanam pokok yang lebat. Cucur atap yang lebar juga boleh membantu mengurangkan pancaran matahari terkena dinding. Tetapi untuk dinding timur dan barat, cucur atap 4 kaki lebar tidaklah mencukupi. Untuk arah timur dan barat, Samada tanam pokok peneduh atau bina kaki lima atau teres berbumbung.

Bumbung

Bumbung rumah adalah bahagian yang paling teruk menerima kepanasan matahari. Ia memang  sentiasa terdedah kepada matahari. Bumbung lebih nipis berbanding dengan dinding bata, maka haba lebih cepat mengalir ke dalam. Bumbung logam lebih cepat mengalirkan kepanasan berbanding bumbung genting. Udara di dalam ruang di antara atap dengan siling menjadi sangat panas, kerana udara panas yang terperangkap tidak dapat keluar. Ianya lebih panas dari udara luar kerana haba sentiasa masuk dan udara ini tidak dapat keluar. Kepanasan ruang di dalam bumbung boleh mencecah 60 darjah celcius. Udara panas dalam bumbung ini akhirnya akan memanaskan siling dan seterusnya memanaskan udara bilik di bawah siling tersebut.

Seperti juga dinding, bumbung yang berwarna cerah membantu memantulkan haba, yang terbaik adalah bumbung yang cerah dan berkilat. Dari segi teknikalnya, bumbung yang mempunyai nilai Indeks Pemantulan Suria (solar reflectance index atau dikenali sebagai SRI) yang tinggi adalah yang baik.

Seterusnya meletakkan lapisan penebat di bawah bumbung membantu mengurangkan pengaliran haba ke dalam rumah. Kita biasa melihat penebat kapas mineral (warna kuning) yang biasanya dibuat dari gentian galian (gambar dibawah). Ia di pasang di bawah atap ataupun di atas siling. Lebih tebal kapas penebat lebih baik ia. Sekiranya bumbung rumah sediaada tidak mempunyai penebat sebegini, ia boleh dipasang kemudian.
Picture
Penebat kapas mineral. Sumber foto: http://my.goodsoundproof.com

​Satu lagi teknik binaan ialah menggunakan sistem penghalang radian (radiant barrier system). Ini merupakan lapisan aluminium yang mantulkan haba radian ke luar. Jenis yag lebih baik ialah yang terdiri dari dua lapisan serta buih udara plastik ditengah2nya. (gambar) Ini menghalang haba radian dan haba pengaliran serentak. Penebatan menggunakan kaedah ini lebih mudah berbanding dengan penggunaan penebat kapas mineral, tetapi mungkin lebih mahal.
Picture
Radiant barrier. Sumber foto : www.exportersindia.com
Udara yang terperangkap dalam ruang bumbung boleh dialirkan keluar dengan menggunakan turbin pengudaraan berupa bola bilah keluli yang berpusing. Ini biasanya dilihat di kilang2. Namun ramai telah menggunakan kaedah ini untuk rumah kediaman. Ianya membantu menurunkan suhu ruang bumbung dengan membenarkan udara panas keluar. Dengan memasang beberapa unit turbin di bumbung anda anda akan lihat perubahan yang ketara di dalam rumah anda.

Inilah serba sedikit petua dan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan beban haba di dalam sesebuah rumah. Untuk penghuni rumah pangsa, pilihan agak terhad. Namun ada beberapa kaedah umum yang masih boleh diambil. Di artikel akan datang, akan saya kongsikan langkah2 umum bagi mencapai keselesaan di dalam rumah yang boleh diambil oleh semua bentuk kediaman.

copyright z. Jaafar 2017

No comments:

Post a Comment