Sunday 13 October 2019

Keselesaan dalaman bangunan, aspek senibina yang sering di anaktirikan.

Nilai senibina sesebuah bangunan biasanya dinilai bagaimana rupabentuknya dilihat dari luar. Adakah sebuah bangunan yang cantik itu selesa bagi penghuninya? Ini persoalan yang dikupas dalam artikel yang dipetik dari penulisan Z Jaafar pada kali ini.
Picture
sumber foto: www.tagny.com
Fariz, Seorang arkitek, mempunyai ramai orang yang akan memberi nasihat, dan maklumbalas tentang sebuah bangunan pejabat moden 20 tingkat yang akan dibinanya. Apabila rekabentuk yang dibuat terlampau canggih tetapi tidak selamat dari segi struktur, Kasman, jurutera awamnya akan menegurnya. Sekiranya bangunan yang dibuat terlalu mahal, Chee Seng, juruukur bahan akan memberitahunya. Sekiranya nilai estetika bangunan itu yang dilukisnya tidak memenuhi citarasa tuanpunya bangunan, dia pasti mendengar rungutan Tan Sri Watson. Namun ada satu pihak yang paling penting didalam projek itu yang tidak duduk berada bersama semasa proses rekabentuk, iaitu penghuni yang akan menghuni bangunan tersebut, yang akan berada di dalam bangunan itu dari hari ke hari, selepas bangunan itu mula beroperasi.
Ini menjadikan aspek keselesaan persekitaran dalaman suatu perkara yang amat rumit untuk di tangani oleh seorang arkitek, dan biasanya hal ini tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Setelah bangunan itu siap, setahun kemudian terdengarlah rungutan yang datang dari penghuni dan pengurusan bangunan tersebut. Ruang lobi pejabat terlalu panas, kawasan kantin terlalu lembap, sedangkan bilik mesyuarat eksekutif terlalu sejuk. Pejabat perakaunan di tingkat 4 pula mengadu pencahayaan dari tingkap barat terlalu silau dan langsir terpaksa dipasang sepanjang masa.

Sebenarnya kisah di atas merupakan contoh kisah benar yang banyak terdapat di dalam industri pembinaan, Contoh nya banyak. Rumah yang terpaksa memasang pendingin hawa yang besar kerana terlalu panas, bumbung tambahan yang hodoh dibina kemudian kerana tempias yang di anggap remeh oleh arkitek semasa proses rekabentuk, tingkap yang terpaksa digelapkan kerana terlalu banyak bahang masuk, bahkan ada kes di mana pekerja terpaksa meletak payung di atas meja mereka kerana berhadapan dinding kaca yang menghadap matahari turun. Keadaan ini sebenarnya manisfestasi dari keadaan sesebuah bangunan yang direka tidak mengambil kira keselesaan dan kesejahteraan penghuninya.

Masyarakat perlu menilai senibina dari kacamata yang lebih komprehensif, tidak hanya melihat nilai sesebuah bangunan dari sudut lukisan perspektif yang cantik di brosur ataupun papantanda. Dengan teknologi digital sekarang, banyak iklan hartanah menggunakan teknik cgi untuk menghasilkan suasana yang nampak menarik dan anggun. Namun nilai sebenar sesuatu bangunan itu hanya akan diketahui selepas penghuni mendiaminya untuk jangkamasa tertentu. Arkitek yang sensitif dan berpengalaman mampu menghasilkan rekaan yang selesa menurut pengalaman dan kepakarannya.

Untuk mengetahui tentang cara haba memasuki bangunan atau rumah anda, sila baca artikel ini.

​copyright reserved Z. Jaafar 2017

No comments:

Post a Comment