Sunday 13 October 2019

Jangan terlalu ghairah dengan rumah baharu siap dibina. Fahami bahaya V.O.C.

Cahaya Siang, kebaikan percuma yang boleh anda manfaatkan dalam rekabentuk rumah anda

Picture
sumber: Penulis
Pernahkah anda masuk ke rumah kawan atau saudara anda dan perasan ruang tamunya amat gelap sehinggalah suis lampu dibuka? Sebaik sahaja lampu dinyalakan, anda boleh melihat dengan baik, maka persoalan tadi terus selesai.
Bukanlah sesuatu yang ganjil bagi penghuni rumah di Malaysia membuka lampu di waktu siang. Terutamanya rumah teres tengah, yang hanya mempunyai tingkap di dinding hadapan dan belakang rumah. Lebih parah sekiranya  porch ditambah di hadapan rumah. Oleh kerana adanya kemudahan lampu elektrik, maka masalah ini jarang diberi perhatian oleh penghuni rumah. Ini lah sebabnya cahaya siang tidak dianggap sebagai faedah yang nyata.

Apakah kelebihan cahaya siang? Dalam artikel ini saya akan membincangkan kelebihan cahaya siang agar kita lebih menghargainya, dan mengambil langkah untuk mengambil manafaat darinya. terlebih dahulu mari kita fahami apa itu cahaya siang

Apa itu cahaya siang?

Apakah cahaya siang? Ia adalah cahaya yang datang dari matahari, ini termasuk cahaya matahari yang masuk secara terus, cahaya dari langit siang, cahaya yang dipantulkan dari luar rumah, dari dinding rumah sebelah, dari permukaan tanah dan jalan, cahaya dari langit itu sendiri, dan juga cahaya yang dipantulkan dari permukaan dalaman rumah itu sendiri. Ia boleh disimpulkan sebegini:

Cahaya siang = pancaran matahari + cahaya langit siang + pantulan dari objek di luar rumah + pantulan dari objek dan permukaan di dalam rumah

Walau bagaimanapun, kita harus berhati-hati dengan dengan pancaran matahari secara terus. Pancaran matahari secara terus adalah sangat terang dan sangat panas. Ukuran kekuatan cahayanya mencecah 100,000 lux. Sedangkan kita hanya memerlukan 300 lux untuk membaca. Pancaran terus matahari ini hendaklah dikawal tahap kemasukkan ke dalam rumah anda kerana ia membawa haba dan silau. Oleh itu apa yang sesuai untuk kita manfaatkan ialah cahaya langit dan cahaya dari pantulan permukaan objek luar dan dalam rumah.

Terdapat banyak kelebihan cahaya siang. dari segi Estetik, Ekonomi, fisiologi bahkan psikologi. Di sini mari kita lihat faedah2 tersebut.

Penjimatan tenaga elektrik

Sekiranya rumah kita cukup dilimpahi dengan cahaya, maka apa perlunya kita nyalakan lampu elektrik? Buat masa ini, penjimatan elektrik rumah di malaysia, sekiranya kita tidak memetik suis lampu, rata ratanya adalah sangat sedikit. Oleh itu tidak menjadi keutamaan bagi kita menggunakan cahaya siang untuk menjimatkan tenaga elektrik. Tambahan pula harga elektrik di negara ini adalah lebih murah berbanding negara2 lain, maka menjimatkan letrik dengan menutup suis lampu bukanlah sesuatu yang menarik bagi isirumah negara ini. Kita lebih berhati2 dengan penggunaan pendingin hawa kerana biasanya letrik yang digunakan lebih tinggi. Namun sekiranya sebuah bangunan pejabat yang besar, penggunaan elektrik untuk menyalakan lampu adalah amat besar, sehingga 20-40% dari jumlah penggunaan elektrik bangunan tersebut. Oleh itu, cahaya siang mampu mengurangkan kos operasi sesebuah bangunan hingga ribuan malahan ratusan ribu ringgit sebulan sekiranya cahaya siang digunakan dengan sebaiknya.

Namun penggunaan cahaya siang harus diteliti. Kita tidak mahu oleh kerana terlalu banyak cahaya siang yang masuk, haba yang tinggi turut masuk dan menyebabkan kos letrik oleh pendingin hawa pula naik. Oleh itu rekabentuk mestilah mengimbangkan di antara membawa cahaya masuk dan menahan haba dari masuk.

Faedah psikologi

Selain dari penjimatan ekonomi, cahaya siang mempunyai kesan positif ke atas psikologi manusia. Banyak kajian telah dijalankan di serata dunia yang menunjukkan kesan positif ini. Pada 1999, satu penyelidikan di jalankan di tiga daerah di Amerika Sarikat menunjukkan sekolah yang mempunyai pencahayaan siang yang baik menunjukkan pencapaian akademik lebih baik berbanding denan sekolah yang kurang pencahayaan siang. (baca sini) ). Ada juga kajian yang menunjukkan pekerja pejabat dapat mencapai prestasi fungsi mental lebih baik sehingga 25% apabila terdedah kepada cahaya siang dan tingkap yang mempunyai pemandangan luar. (lihat di sini)

Pengaruh ke atas kitaran fisiologi manusia

secara biologinya, manusia hidup dengan rutin yang mengikut pergerakan matahari. Diwaktu siang, manusia akan bingkas bangun untuk bekerja dan melakukan aktiviti lain. Apabila cahaya malap ketika senja dan malam, tubuh kita akan bersedia untuk berehat. Ini dipanggil Ritma Sirkadian (Circadian Rhythm). Cahaya siang memberitahu kita waktu yang tepat untuk bekerja dan berehat. namun dengan adanya cahaya lektrik, kita mula melanggar peraturan alam ini. Akibatnya terdapat kesan jangka panjang ke atas kesihatan kita. Dengan adanya cahaya langit diluar kita dapat mengatur jam biologi kita dengan lebih baik.

Menonjolkan keindahan senibina.

Arkitek yang hebat tahu menggunakan cahaya siang yang berubah-ubah itu untuk menonjolkan keindahan ruang di dalam dan diluar bangunan mereka. dengan adanya kesan bayang yang dikawal, ada corak tertentu yang jatuh ke dinding dan lantai yang menimbulkan keindahan bagi bangunan mereka.  Gambar di bawah menunjukkan contoh ruang dalam gereja kecil Notre dam Du Haut di Perancis yang direka oleh bapa arkitek moden Le Corbusier yang di bina pada tahun 1954.
Ia menunjukkan mood dan kesan yang berbeza bagi waktu yang berbeza hasil dari kedudukan matahari dan keadaan langit yang sentiasa berubah. Ianya juga di padankan dengan kerpeluan rohani pengunjung yang inginkan kesan psikologi khusus bagi tujuan kerohanian.

Dan banyak lagi...
sebenarnya banyak lagi kelebihan cahaya siang yang boleh didapati dari kajian saintifik di seluruh dunia. Di link ini di senaraikan 31 faedah cahaya siang untuk kita manfaatkan.

Setelah mengetahui kelebihan cahaya siang ini, saya akan kongsikan tentang cara2 dan strategi meningkatkan cahaya siang di dalam rekabentuk rumah anda.

Di link ini dikongsikan contoh strategi pencahyaan siang yang baik ... lihat videoPenuaian Cahaya siang

Rumah anda panas? (Bah. 2) - Petua menyejukkan rumah

Picture
Dalam artikel sebelum ini, diterangkan cara-cara haba boleh masuk ke dalam rumah dan menjadikan rumah kita panas. Seterusnya kali ini kita akan lihat bagaimana kaedah melawan kemasukan haba.
Penerangan kali ini fokus kepada rumah banglo dan teres. Terdapat kaedah yang boleh diambil oleh pemilik rumah sedia ada dan juga langkah pencegahan yang boleh diambil bagi pemilik yang rumahnya masih dalam proses rekabentuk. Langkah2 ini bukan sahaja membantu dari segi keselesaan, bahkan sekiranya anda menggunakan pendingin hawa, anda mungkin boleh melihat kesannya pada penurunan bil elektrik anda daripada biasa.

Terdapat tiga komponen utama bangunan yang menjadi laluan masuk haba dari luar, iaitu tingkap, dinding dan bumbung. Setiap satu akan diterangkan kaedah menanganinya

Tingkap
Walaupun tingkap merupakan komponen yang agak kecil berbanding dinding, haba pancaran masuk melalui tingkap adalah paling tinggi kadarnya. Bayangkan kereta anda yang diletak di tengah panas selama 1 jam dengan kaca tingkap bertutup, bagaimanakah bahangnya apabila anda mula mula masuk kedalamnya? Ini adalah kerana haba radian dari pancaran matahari masuk terus menembusi tingkap kaca dan memanaskan udara dan permukaan dalaman kereta anda. Haba ini terkumpul dan tidak boleh keluar semula melalui kaca tingkap kereta. Ini dipanggil kesan rumah hijau (Green house effect). Sering kita dengar kanak2 yang ditinggalkan di dalam kereta yang bertutup mati kerana serangan haba, adalah kerana fenomena ini.

Secara umumnya, haba yang masuk ke dalam setiap kaki persegi tingkap kaca adalah berkali ganda banyaknya dari sekaki persegi dinding bata. Ini kerana haba pancaran masuk secara terus ke dalam rumah dan mengenai lantai dan perabot yang menjadi panas dan seterusnya memanaskan udara secara terus.

Apakah caranya mengurangkan haba pancaran melepasi tingkap? Langkah pertama, sekiranya rekaan masih belum dimuktamadkan, ialah mengecilkan saiz tingkap yang menghadap matahari. Jangan halakan tingkap tersebut kearah pancaran terus matahari. Ini bermakna tingkap sebaiknya dihalakan ke utara atau selatan, kerana matahari pagi akan mengenai tingkap menghadap ke timur, dan matahari petang akan mengenai tingkap yang menghadap ke barat. Untuk tingkap yang telah memang menghadap timur dan barat, ianya boleh dikurangkan dengan membina peneduhan di luar tingkap. Peneduhan ialah apa juga binaan yang boleh melindungi sesuatu permukaan dari pancaran terus matahari. ini boleh didapati dalam bentuk awning, pokok, bahkan bangunan lain sekalipun. Saya tekankan bahawa peneduhan ataupun perlindungan matahari hendaklah di bina di LUAR tingkap. Dengan hanya meletakkan langsir di tingkap, ianya mampu mengurangkan silau dan sedikit haba, tetapi langsir itu sendiri menjadi panas. Sekiranya kaca tingkap itu tertutup, haba yang terperangkap di langsir dan ruang antara langsir dan tingkap akan mengalir akhirnya ke dalam bilik tersebut.

Menampal lapisan tint atau menggunakan kaca gelap mampu mengurangkan haba pancaran ini, tetapi ianya mempunyai kesan yang tidak di ingini, bilik akan menjadi gelap dan kurang mendapat cahaya siang. Saya akan membincangkan kepentingan cahaya siang ini di dalam bab yang lain.

Dinding

Apabila permukaan luar dinding terkena pancaran matahari, haba akan diserap dan dialirkan ke dalam. Permukaan luar dinding akan menjadi panas. Seterusnya haba akan bergerak melalui pengaliran ke bahagian dalam dinding rumah, dan seterusnya akan memanaskan udara di dalam rumah itu sendiri. Kadar pengaliran haba ini bergantung kepada ketebalan dan nilai tebatan haba dinding itu sendiri. Sekiranya dinding yang diperbuat dari kayu, walaupun kayu penebat haba yang baik, haba akan cepat mengalir ke dalam kerana ianya agak nipis. Dinding batu melambatkan pergerakan aliran haba dari luar ke dalam. Oleh itu kita biasa menyebut rumah batu lebih sejuk, kerana ketika cuaca panas diluar, permukaan dalamnya masih sejuk lagi. Namun haba ini sebenarnya di simpan di dalam jisim bata itu sendiri. Dinding bata mempunyai nilai simpanan haba yang tinggi, oleh itu ketika ia dipanaskan oleh pancaran matahari ianya menyimpan sedikit demi sedikit dan akhirnya akan menyalurkan haba secara perlahan2 ke dalam rumah. Kesannya, rumah batu akan terasa panas agak lewat, bahkan sehingga ke malam hari haba yang disimpan masih dilepaskan ke dalam rumah. Inilah sebabnya kita merasakan rumah kayu panas di siang hari dan sejuk di malam hari, sedangkan rumah batu sejuk disiang hari dan panas di malam hari. Biasanya kita berada di dalam rumah ketika waktu malam, dan inilah waktu yang paling tidak selesa bagi kita.

Di negara sejuk dinding dibina dua lapis dan diletakkan penebat untuk menghalang haba dari keluar. Tetapi di negara kita ianya bagus untuk menghalang haba masuk. Namun kos untuk menebat dinding sebegini menjadikan ia tidak praktikal. Kita perlu menggunakan kaedah lain untuk menghalang haba masuk melalui dinding.

Antara caranya untuk menebat haba ialah dengan menggunakan warna cerah atau putih. Ini kerana warna ini memantulkan haba lebih baik dari warna gelap. Kita juga boleh menggunakan teknologi inovasi cat pemantul haba yang kini mula ada di pasaran.

Semasa proses rekabentuk, sebaiknya pelan rumah kita direka memanjang timur ke barat, agar dinding yang terdedah kepada matahari naik dan turun adalah kecil. Namun sekiranya lot tanah kita sememangnya memanjang dari utara ke selatan, maka langkah peneduhan perlulah di ambil. Benar, bukan hanya tingkap memerlukan peneduhan, bahkan dinding juga memerlukan peneduhan dari sinaran terus matahari. Ia membantu agar dinding tidak terkena pancaran terus matahari. Peneduhan diluar dinding rumah boleh dibuat dengan menanam pokok yang lebat. Cucur atap yang lebar juga boleh membantu mengurangkan pancaran matahari terkena dinding. Tetapi untuk dinding timur dan barat, cucur atap 4 kaki lebar tidaklah mencukupi. Untuk arah timur dan barat, Samada tanam pokok peneduh atau bina kaki lima atau teres berbumbung.

Bumbung

Bumbung rumah adalah bahagian yang paling teruk menerima kepanasan matahari. Ia memang  sentiasa terdedah kepada matahari. Bumbung lebih nipis berbanding dengan dinding bata, maka haba lebih cepat mengalir ke dalam. Bumbung logam lebih cepat mengalirkan kepanasan berbanding bumbung genting. Udara di dalam ruang di antara atap dengan siling menjadi sangat panas, kerana udara panas yang terperangkap tidak dapat keluar. Ianya lebih panas dari udara luar kerana haba sentiasa masuk dan udara ini tidak dapat keluar. Kepanasan ruang di dalam bumbung boleh mencecah 60 darjah celcius. Udara panas dalam bumbung ini akhirnya akan memanaskan siling dan seterusnya memanaskan udara bilik di bawah siling tersebut.

Seperti juga dinding, bumbung yang berwarna cerah membantu memantulkan haba, yang terbaik adalah bumbung yang cerah dan berkilat. Dari segi teknikalnya, bumbung yang mempunyai nilai Indeks Pemantulan Suria (solar reflectance index atau dikenali sebagai SRI) yang tinggi adalah yang baik.

Seterusnya meletakkan lapisan penebat di bawah bumbung membantu mengurangkan pengaliran haba ke dalam rumah. Kita biasa melihat penebat kapas mineral (warna kuning) yang biasanya dibuat dari gentian galian (gambar dibawah). Ia di pasang di bawah atap ataupun di atas siling. Lebih tebal kapas penebat lebih baik ia. Sekiranya bumbung rumah sediaada tidak mempunyai penebat sebegini, ia boleh dipasang kemudian.
Picture
Penebat kapas mineral. Sumber foto: http://my.goodsoundproof.com

​Satu lagi teknik binaan ialah menggunakan sistem penghalang radian (radiant barrier system). Ini merupakan lapisan aluminium yang mantulkan haba radian ke luar. Jenis yag lebih baik ialah yang terdiri dari dua lapisan serta buih udara plastik ditengah2nya. (gambar) Ini menghalang haba radian dan haba pengaliran serentak. Penebatan menggunakan kaedah ini lebih mudah berbanding dengan penggunaan penebat kapas mineral, tetapi mungkin lebih mahal.
Picture
Radiant barrier. Sumber foto : www.exportersindia.com
Udara yang terperangkap dalam ruang bumbung boleh dialirkan keluar dengan menggunakan turbin pengudaraan berupa bola bilah keluli yang berpusing. Ini biasanya dilihat di kilang2. Namun ramai telah menggunakan kaedah ini untuk rumah kediaman. Ianya membantu menurunkan suhu ruang bumbung dengan membenarkan udara panas keluar. Dengan memasang beberapa unit turbin di bumbung anda anda akan lihat perubahan yang ketara di dalam rumah anda.

Inilah serba sedikit petua dan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan beban haba di dalam sesebuah rumah. Untuk penghuni rumah pangsa, pilihan agak terhad. Namun ada beberapa kaedah umum yang masih boleh diambil. Di artikel akan datang, akan saya kongsikan langkah2 umum bagi mencapai keselesaan di dalam rumah yang boleh diambil oleh semua bentuk kediaman.

copyright z. Jaafar 2017

Rumah anda panas? Ini sebabnya....

Keselesaan dalaman bangunan, aspek senibina yang sering di anaktirikan.

Nilai senibina sesebuah bangunan biasanya dinilai bagaimana rupabentuknya dilihat dari luar. Adakah sebuah bangunan yang cantik itu selesa bagi penghuninya? Ini persoalan yang dikupas dalam artikel yang dipetik dari penulisan Z Jaafar pada kali ini.
Picture
sumber foto: www.tagny.com
Fariz, Seorang arkitek, mempunyai ramai orang yang akan memberi nasihat, dan maklumbalas tentang sebuah bangunan pejabat moden 20 tingkat yang akan dibinanya. Apabila rekabentuk yang dibuat terlampau canggih tetapi tidak selamat dari segi struktur, Kasman, jurutera awamnya akan menegurnya. Sekiranya bangunan yang dibuat terlalu mahal, Chee Seng, juruukur bahan akan memberitahunya. Sekiranya nilai estetika bangunan itu yang dilukisnya tidak memenuhi citarasa tuanpunya bangunan, dia pasti mendengar rungutan Tan Sri Watson. Namun ada satu pihak yang paling penting didalam projek itu yang tidak duduk berada bersama semasa proses rekabentuk, iaitu penghuni yang akan menghuni bangunan tersebut, yang akan berada di dalam bangunan itu dari hari ke hari, selepas bangunan itu mula beroperasi.
Ini menjadikan aspek keselesaan persekitaran dalaman suatu perkara yang amat rumit untuk di tangani oleh seorang arkitek, dan biasanya hal ini tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Setelah bangunan itu siap, setahun kemudian terdengarlah rungutan yang datang dari penghuni dan pengurusan bangunan tersebut. Ruang lobi pejabat terlalu panas, kawasan kantin terlalu lembap, sedangkan bilik mesyuarat eksekutif terlalu sejuk. Pejabat perakaunan di tingkat 4 pula mengadu pencahayaan dari tingkap barat terlalu silau dan langsir terpaksa dipasang sepanjang masa.

Sebenarnya kisah di atas merupakan contoh kisah benar yang banyak terdapat di dalam industri pembinaan, Contoh nya banyak. Rumah yang terpaksa memasang pendingin hawa yang besar kerana terlalu panas, bumbung tambahan yang hodoh dibina kemudian kerana tempias yang di anggap remeh oleh arkitek semasa proses rekabentuk, tingkap yang terpaksa digelapkan kerana terlalu banyak bahang masuk, bahkan ada kes di mana pekerja terpaksa meletak payung di atas meja mereka kerana berhadapan dinding kaca yang menghadap matahari turun. Keadaan ini sebenarnya manisfestasi dari keadaan sesebuah bangunan yang direka tidak mengambil kira keselesaan dan kesejahteraan penghuninya.

Masyarakat perlu menilai senibina dari kacamata yang lebih komprehensif, tidak hanya melihat nilai sesebuah bangunan dari sudut lukisan perspektif yang cantik di brosur ataupun papantanda. Dengan teknologi digital sekarang, banyak iklan hartanah menggunakan teknik cgi untuk menghasilkan suasana yang nampak menarik dan anggun. Namun nilai sebenar sesuatu bangunan itu hanya akan diketahui selepas penghuni mendiaminya untuk jangkamasa tertentu. Arkitek yang sensitif dan berpengalaman mampu menghasilkan rekaan yang selesa menurut pengalaman dan kepakarannya.

Untuk mengetahui tentang cara haba memasuki bangunan atau rumah anda, sila baca artikel ini.

​copyright reserved Z. Jaafar 2017